7th Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara  1020

Start Date : 25th August 2013
End Date : 25th August 2013
Venue : Singapore
Country : Canada
Total participant : 0
Total Interested : 0
Institution :

default-event.png
 

Aplikasi Ujrah (Fees and Charges) dalam Institusi Kewangan Islam

Sesi pembentangan kertas kerja dimulakan dengan topik pertama iaitu  Aplikasi Ujrah (Fee and Charges) dalam Institusi Kewangan Islam dengan moderator, Prof. Dr. Md. Som Sujiman, Rektor, Ketua Eksekutif Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Tiga kertas kerja dibentang dan didiskusi dalam topik ini. Pembentangan dimulakan oleh Dr. Zakaria Hama, Dekan, Fakulti Pengajian Islam dan Undang-undang, Universiti Yala (Thailand).Kertas kerja beliau bertajuk  Konsep Ujrah dari Perspektif Fiqh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama dimulai dengan pengenalan ijarah secara umum kerana aqad asasi yang menghasilkan atau mendatangkan ujrah ialah aqad ijarah manakala bahagian kedua membincangkan ujrah dari perspektif fiqh.

Seterusnya, pembentangan kedua bagi sesi ini disusuli dengan tajuk  Aplikasi Ujrah dalam Institusi Kewangan Islam yang dibentangkan oleh Dr. Shamsiah Abdul Karim, Penolong Pengarah, Majlis Ugama Islam Singapura dan pembentangan kertas kerja ketiga ialah  Isu-isu Shariah berkaitan Ujrah dalam Institusi Kewangan Islam, dibentangkan oleh En. Saiful Anuar Hambali, Ketua Pemantauan Shariah, Affin Islamic Bank.

Selesai sesi pembentangan tersebut, muzakarah memberi laluan kepada tiga pendiskusi jemputan untuk memberi ulasan. Pendiskusi tersebut ialah Prof. Dr. Mohammad Rusydi (ACIF, Australia), Dr. Fadzliwati binti Mohiddin (Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, UNISSA) dan Dr. Maroning Salaming (College of Islamic Studies, Prince of Songkla University).

Dr. Maroning Salaming mengulas, aplikasi ujrah amat penting dalam membantu  memahami produk-produk baru yang diperkenalkan oleh institusi kewangan Islam.Beliau  mencadangkan agar definisi ujrah dan ijarah dihuraikan dengan lebih terperinci dari aspek perbezaannya supaya pengaplikasian definisi ujrah dan ijarah lebih jelas terutama dalam akad-akad baru.

Prof. Dr. Mohammad Rusydi, pula mengulas permasalahan kos sebenar. Beliau berpandangan bahawa kos sebenar harus dilihat kepada kemajuan teknologi. Apa-apa kos sebenar yang melibatkan humanity boleh dikurangkan dengan penggunaan komputer.

Ujrah dalam Bentuk Bayaran Insentif berdasarkan Prestasi Kerja (Performance Fee) dalam Kewangan Islam

Dalam bahagian ini, pembentangan muzakarah dimulakan dengan tajuk  Ujrah dalam Bentuk Bayaran Insentif berdasarkan Prestasi Kerja (Performance Fee) dalam Kewangan Islam, yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Mohammad Amin Suma, Dekan, Fakultas Syariah dan Hukum UIN Syarif Hidayatullah (Indonesia). Manakala, kertas kerja kedua yang dikupas pada sesi ini adalah  Takyif Fiqhi ke atas Performance Fee dalam Takaful, dibentangkan oleh Ust. Muhammad Ali Jinnah Ahmad, Penyelidik ISRA. Pembentang memperkenalkan istilah yuran prestasi, aplikasi dan kepentingannya dalam sistem kewangan Islam manakala bahagian kedua menjelaskan tentang kontrak-kontrak yang boleh ditakyifkan sebagai yuran prestasi seperti kontrak jualah, ujrah, hibah dan hafizb tashjii. Seterusnya, isu-isu dan cabaran terhadap penggunaan kontrak-kontrak ini dibincangkan dalam bahagian ketiga.

Kertas kerja bagi sesi pembentangan ini didiskusikan oleh Prof. Madya Engku Rabiah Engku Ali UIAM / Ahli Majlis Penasihat Syariah, BNM (Malaysia), Dr. Setiawan Budi Utome (Indonesia), Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi (INCEIF) dan dimoderatorkan oleh Ust. Muhammad Nuzaihan Hamdan CIMB (Singapura).

Pengulas, Dr. Setiawan Budi Utome memberi komen bahawa dalam membincangkan isu ujrah dalam bentuk performance fee, perkara paling utama adalah menjelaskan maksud sebenar performance fee. Antara pengulas lain yang memberi ulasan adalah Prof. Madya Engku Rabiah Engku Ali. Beliau memberi ulasan mengenai isu takyif fiqhi terhadap yuran prestasi. Beliau menimbulkan persoalan, adakah yuran prestasi yang dibenarkan dalam konteks jualah atau ujrah adalah isu sama ada wujud gharar dalam penentuan yuran tersebut. Jika dilihat dalam konteks semasa, yuran tersebut tidak terdapat jumlah spesifik sebagaimana yuran kali pertama yang ditetapkan dalam takaful seperti bayaran premium dan sumbangan. Tetapi yuran prestasi dalam konteks ini adalah dalam bentuk nisbah. Oleh itu, beliau berpendapat, yuran prestasi dalam takaful berbeza dengan yuran prestasi dalam sektor-sektor kewangan yang lain.

Beliau memberi contoh, dalam sektor kewangan pelaburan, dijangka keuntungan sebanyak 7%, sekiranya pihak mudharib melakukan prestasi yang bagus, apa-apa lebihan keuntungan atas keuntungan yang disasarkan menjadi performance fee bagi pihak pengurus pelaburan tersebut. Adapun dalam takaful, peningkatan atau pengurangan surplus tidak bergantung kepada prestasi pihak pengendali sebaliknya bergantung kepada jumlah tuntutan tanpa dikawal oleh pengendali takaful. Oleh itu, performance fee merupakan isu yang memerlukan kajian yang lebih mendalam.

Pengulas seterusnya, Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi memberi pandangan antara kontrak yang digunakan oleh syarikat takaful adalah prinsip wakalah dan mudharabah. Walaubagaimanapun, pada masa kini banyak syarikat takaful menggunakan kontrak wakalah berbanding mudharabah. Manakala model wakalah wakaf wujud dalam dua negara sahaja iaitu di Afrika Selatan dan Pakistan. Bahagian wakaf dalam model ini adalah daripada dana risiko sahaja. Ia adalah wakaf khas bagi peserta takaful yang mengalami kemalangan. Oleh itu, tiada ruang bagi pengurus takaful untuk berkongsi pendapatan dana tersebut dengan peserta. Underwriting surplus daripada dana ini akan diwakafkan dalam dana tersebut. Namun, keuntungan dalam takaful bukan sahaja daripada dana risiko peserta tetapi juga daripada dana pelaburan peserta. Oleh itu, kajian terperinci perlu dilakukan terhadap hukum mengambil performance fee daripada dana tersebut.


Fi Sebenar (Actual Fee) yang berkaitan dengan Kos Sebenar (Actual Cost)

Pada hari kedua, topik perbincangan muzakarah dimulai dengan Fi Sebenar (Actual Fee) yang berkaitan dengan Kos Sebenar (Actual Cost), yang dimoderatorkan oleh Ust. Mohd Kamal Mokhtar (Singapura). Sesi ini mengemukakan dua kertas kerja. Pertama,  Konsep dan Aplikasi Kos Sebenar dalam Institusi Kewangan Islam, dibentangkan oleh Dr. Abdul Nasir Abdul Rani, Pengarah, Pusat Pengajian Lepas Ijazah & Penyelidikan, UNISSA.

Kertas kerja kedua pula bertajuk Aplikasi Kos Sebenar dalam Kewangan Islamyang dibentangkan oleh Ust. Nazri Chik, Ketua Jabatan Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad. Kertas kerja beliau meliputi aspek fi (ujrah) yang dikenakan oleh satu pihak yang berkontrak ke atas satu pihak lain dalam struktur kemudahan kewangan Islam yang perlu diasaskan kepada kos sebenar. Oleh itu, pembentang menjelaskan dua kemudahan kewangan Islam yang mana fi dikenakan perlu diasaskan kepada kos sebenar. Pertama adalah kemudahan terhadap produk-produk jaminan (kafalah) seperti Bank Guarantee dan Standby Letter of Credit. Kedua, kemudahan dalam produk berasaskan qardh seperti overdraft, pinjaman dalam hari dan pembelian draf asing. Pendiskusi bagi ketiga-ketiga kertas kerja ini ialah Ust. Azizi Che Seman (Penasihat Syariah Bank Muamalat (Malaysia)) dan Dr. Tatik Mariyanti (Trisakti University, Indonesia).

Ust. Azizi Che Seman, memberi komentar terhadap ujrah ke atas simpanan, sama ada mesti berdasarkan kos sebenar ataupun tidak. Beliau menyatakan persetujuan dengan kertas kerja yang dibentangkan oleh Ust. Nazri Chik, yang mana tidak semestinya upah yang dibayar adalah berdasarkan upah yang sebenar sahaja sebaliknya memerlukan keredhaan kedua – dua pihak yang berakad. Dalam hal ini, garis panduan pengawalseliaan pihak kerajaan atau Bank Negara Malaysia dan sebagainya tentang upah dan untung yang wajar diambil memerlukan perbincangan lanjut dalam konteks perbankan dan hendaklah mengambil kira maslahah pihak yang terlibat kerana ia akan memberi kesan umum.

Pendiskusi kedua, Dr. Tatik Mariyanti, menyarankan dalam pembentangan akan datang agar melampirkan hasil kajian yang menyentuh tentang penerapan biayai atau  fi dalam institusi perbankan Syariah khususnya di negara-negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Kekeliruan timbul apabila mengira kos yang tidak diperlukan dalam pengiraan kos sebenar yang sepatutnya. Jika dilihat dalam konteks perbincangan kos sebenar, ia perlu dilihat dalam keadaan tertentu sahaja, seperti bank tidak boleh mengenakan caj atau upah terhadap pinjaman yang diberikan dalam bentuk qard. Ini kerana, dibimbangi membawa kepada riba atau syibh riba.Oleh itu, apabila ingin mengenakan caj, institusi perbankan Islam perlu melihat kepada jumlah kos sebenar pengurusan yang terlibat dan jumlah kos yang perlu ditanggung oleh institusi perbankan tersebut bukannya mengira caj daripada jumlah pinjaman yang diberikan.

 Hal ini kerana, dalam kontrak qard, ulama jelas melarang mengambil lebihan daripada jumlah pinjaman. Tetapi dalam kontrak-kontrak lain terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama terhadap hukum sama ada boleh dikenakan upah atau tidak.

Penentuan Kos Sebenar (Actual Cost/Financial Cost) dan Bayaran Insentif Berasaskan Prestasi (Performance Fee)

Muzakarah pada hari kedua diakhiri dengan topik  Penentuan Kos Sebenar (Actual Cost/Financial Cost) dan Bayaran Insentif Berasaskan Prestasi (Performance Fee). Pembentangan kertas kerja pertama pada sesi ini dimulakan oleh Dr. Azman Mohd Nor, Penasihat Syariah Bank Al-Rajhi dengan tajuk  Kerangka dan Mekanisme Penentuan Kos Sebenar dalam Kewangan Islam. Kertas kerja ini bertujuan membincangkan isu pelaksanaan kos sebenar yang berkaitan dengan produk-produk kewangan Islam. Kertas kerja seterusnya bertajuk Kerangka Pengurusan dan Penentuan  Performance Fee yang dibentangkan oleh Abdul Hakim Osman. Dalam kertas kerja ini, pembentang memperincikan tiga elemen dalam isu upah iaitu upah, dana/pelaburan dan prestasi/perubahan portfolio. Pembentang juga menjelaskan tentang mekanisme upah prestasi dan aplikasi upah prestasi dalam takaful. Akhir sekali pembentang mengemukakan kerangka cadangan upah prestasi untuk takaful.

Pengulas pada sesi terakhir ini ialah Dr. Asmadi Mohamed Naim(UUM) dan Prof. Dr. H. Fathurrahman Djamil,Timbalan Ketua, DSN (Indonesia). Pengulas menyatakan persetujuan dengan penjelasan kos sebenar tidak perlu dilaksanakan dalam sistem ujrah kecuali dalam beberapa produk yang terdapat kaitan caj-caj dengan hutang. Pengulas juga tertarik dengan isu manfaat kepada pemberi hutang dalam kertas berkenaan di mana dinyatakan tiga manfaat iaitu manfaat hutang kepada peminjam, pemiutang, dan kedua-duanya. Satu penjelasan yang amat baik juga kadang-kadang tidak disedari oleh penasihat-penasihat Syariah dalam konteks perbankan sekarang:  pendeposit yang menyimpan duit dalam akaun yang berdasarkan qard seperti kebanyakan akaun semasa akan mendapat diskaun pada profit rate yang jauh lebih rendah di dalam pembiayaan berbanding dengan pelanggan biasa.

Justeru itu, dalam konteks perbankan semasa, beliau mengakui bahawa kadang-kala ahli penasihat Syariah tidak perasan dengan mengiklankan tawaran pinjaman (manfaat) dalam pinjaman berbentuk qard. Pendiskusi kedua pula mengulas, secara umum masalah ujrah adalah masalah yang penting untuk diperbahaskan dalam perbincangan fiqh semasa. Di Indonesia telah wujud school of fatwa yang berkaitan ujrah dan performance fee.

Selesai perbincangan muzakarah dengan tema  Ujrah: Isu- isu dan Aplikasi dalam Kewangan Islam ini, maka draf resolusi bagi topik ini dibentuk dan disepakati oleh ahli jawatankuasa resolusi yang dipilih. Antaranya, muzakarah menegaskan bahawa ujrah merupakan bayaran yang diberikan oleh pengguna manfaat (sama ada ‘ayn atau pekerjaan) kepada pemberi manfaat di atas manfaat yang diperoleh. Muzakarah juga memutuskan, institusi kewangan Islam dibenarkan menjana pendapatan melalui ujrah daripada perkhidmatan yang diberikan kepada para pelanggan.

Resolusi juga menetapkan bahawa ujrah tidak boleh dikenakan ke atas pinjaman dan hutang kerana mengandungi unsur riba. Sebaliknya, di dalam keadaan ini, bayaran yang boleh dikenakan adalah caj kos sebenar. Caj kos sebenar ini perlu dibuktikan oleh institusi kewangan Islam dan diluluskan oleh penasihat Syariah dan dipantau oleh pihak berkuasa. Resolusi muzakarah juga menegaskan bahawa segala rukun dan syarat kontrak berkaitan dengan ujrah hendaklah dipenuhi dan dipatuhi dan ujrah hanya boleh dikenakan apabila adanya manfaat atau perkhidmatan yang patuh Syariah. Institusi kewangan Islam juga, hendaklah mengambil maklum bahawa ujrah yang pada kebiasaannya dibayar dalam bentuk matawang boleh dibayar dalam bentuk-bentuk lain yang diterima Syarak, seperti manfaat dan barangan.

Resolusi muzakarah turut memutuskan bahawa pihak berkuasa boleh menentukan kadar siling ujrah dan caj kos sebenar mengikut keperluan dan maslahah. Selain itu, resolusi juga mencadangkan kepada pihak-pihak yang berkaitan, khususnya para penasihat Syariah supaya memberi perhatian yang serius terhadap perkara-perkara seperti ujrah tidak boleh digunakan sebagai hilah kepada riba dan keadilan kepada pihak-pihak yang berkontrak dapat ditegakkan khususnya dalam memastikan berlakunya  taradi (reda-meredai) dan menghindari kadar upah yang melampau (fahish). Akhir sekali, resolusi muzakarah menyarankan agar dijalankan kajian yang lebih terperinci dalam isu-isu seperti konsep dan parameter dalam menentukan caj berdasarkan kos sebenar, takyif fiqhi terhadap penggunaan pelbagai terma fi yang digunakan dalam industri kewangan Islam dan takyif fiqhi tentang aplikasi yuran prestasi (performance fee) dalam produk kewangan Islam.

name issn year language pages author Document
Konsep dan Aplikasi Kos Sebenar dalam Institusi Kewangan Islam 2013 Abdul Nasir Abdul Rani
Aplikasi Ujrah dalam Institusi Kewangan Islam 2013 Shamsiah Abdul Karim
Kerangka Pengurusan dan Penentuan Performance Fee 2013 Abdul Hakim Osman
Takyif Fiqhi Terhadap Yuran Prestasi (Performance Fee) Daripada Lebihan (Surplus) Dana Risiko Peserta Takaful 2013 Apnizan Abdullah,Lokmanulhakim Hussain,Muhammad Ali Jinnah Ahmad
Isu-isu Syariah berkaitan Aplikasi Kos Sebenar dalam Kewangan Islam 2013 Mohd Nazri Chik
Ujrah dalam Bentuk Bayaran Insentif berdasarkan Prestasi Kerja (Performance Fee) dalam Kewangan Islam 2013 Muhammad Amin Suma
Kerangka dan Mekanisma Penentuan Kos Sebenar dalam Kewangan Islam 2013 Abdul Hakim Osman,Azman Mohd Noor,Madya
Konsep Ujrah dari Perspektif Fiqh 2013 Zakaria Hama
Isu-isu Syariah berkaitan Ujrah dalam Industri Kewangan Islam 2013 Saiful Anuar Hambali
name issn year language pages author Document
Resolusi Muzakarah 2013 Malay ISRA


Comments

( No comment has been added. )