Cadangan Struktur Istijrar dalam Surat Kredit Islamik (Import): Isu-Isu Shariah dan Operasi

 77
Author: Muhamad Nasir Haron
Year: 2020


1.0 PENDAHULUAN
Perdagangan kewangan antarabangsa merupakan salah salah sektor penyumbang utama dalam sistem ekonomi khususnya bidang kewangan. Sektor ini memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan pendapatan sesebuah negara. Salam Gateway (2017) melaporkan setakat tahun 2016, aset perdagangan kewangan dilaporkan mencecah sehingga USD12.3 trillion bersamaan 75% daripada jumlah keseluruhan perdagangan antarabangsa. Daripada jumlah itu, aset perdagangan kewangan Islam dilaporkan sebanyak USD 186 billion pada tahun yang sama. Sektor perdagangan kewangan Islam yang meliputi import dan eksport berpotensi untuk berkembang dengan lebih jauh lagi berikutan kepesatan industri halal dan ekonomi Islam di negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia. Ini dapat dilihat menerusi statistik import negara-negara tersebut mencecah sehingga USD84 billion pada tahun 2015 sahaja. Kesan dari perkembangan tersebut, produk perdagangan kewangan Islam mendapat permintaan yang tinggi bagi memudahkan urusan di antara pembeli (pengimport) dan penjual (pengeksport) secara patuh Syariah.
Antara produk dan perkhidmatan perdagangan yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam adalah bertujuan untuk memudahkan kaedah pembayaran dilakukan dan sebagai perantara kewangan di antara pengimport dan pengeksport. Selain itu, pihak perbankan Islam juga menyediakan perkhidmatan pembiayaan untuk tujuan pengurusan aliran tunai bagi sesebuah entiti perniagaan dalam transaksi dagangan sama ada import atau eksport (Rosli, 1998).
Dalam konteks penstrukturan produk perdagangan Islam, beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan bagi mematuhi garis panduan Syariah dan pada masa yang sama memenuhi kehendak operasi perdagangan semasa. Ini termasuklah penggunaan konsep-konsep Syariah seperti wakalah, murabahah, komoditi murabahah dan lain-lain yang tertakluk kepada kesesuaian operasi di institusi perbankan Islam masing-masing. Dalam pada itu, terdapat beberapa cabaran dalam penstrukturan produk patuh Syariah antaranya adalah persoalan yang berkaitan dengan ketidakselarian piawaian antarabangsa yang mengawalselia perdagangan kewangan, Uniform Customs and Practice for Documentary Credit (“UCP 600”)2 dengan garis panduan Syariah (Lahsasna, 2007, Azam, 2010). Ini dapat dilihat di mana UCP 600 lebih menekankan dokumentasi berbanding kewujudan aset yang merupakan kriteria utama dari perspektif Syariah (ISRA, 2016). Antara cabaran lain adalah perbezaan pandangan Syariah di sesetengah tempat dan negara terhadap konsep Syariah yang diguna pakai dalam penstrukturan produk-produk kewangan perdagangan (Atikullah, 2017).
Secara umumnya, dalam konteks perdagangan kewangan Islam khususnya Surat Kredit di Malaysia, kontrak murabahah lebih diterima pakai berbanding kontrak-kontrak lain. Penggunaan kontrak murabahah biasanya akan melibatkan situasi di mana pembeli atau pengimport memerlukan pembiayaan dari pihak bank untuk membayar kepada pengeksport. Pada kebiasaannya, kontrak murabahah akan dimeterai pada hari dokumen diserahkan kepada pengimport. Namun, terdapat situasi lain di mana kontrak murabahah tidak dilakukan semasa penyerahan dokumen tetapi hanya akan dimeterai setelah tempoh kredit tamat. Ini berlaku kerana pengimport diberikan tempoh kredit oleh pengeksport untuk beberapa tempoh tertentu (contohnya 60 hari). Secara tidak langsung ini boleh menimbulkan beberapa isu Syariah sekiranya aset tidak lagi wujud, dijual ataupun rosak ketika kontrak murabahah dimeterai (selepas tempoh kredit tamat). Sekiranya perkara ini tidak dapat di atasi, ia boleh menimbulkan isu jualan tanpa barang (bay’ ma’dum) yang tidak dibenarkan oleh Syarak.
Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu di atas serta membentangkan cadangan struktur perdagangan import berdasarkan kontrak bay’ al-istijrar untuk perbincangan dan pertimbangan pihak industri.


 

user_id not set
bool(false)
string(1) "0"

 

Unfortunately your account does not have the necessary access level to continue. We would like to suggest that you upgrade account to enjoy more benefits on this website.


Comments

( No comment has been added. )

 

ADVERTISEMENT