BANTUAN BAYARAN BALIK PEMBIAYAAN DITERUSKAN UNTUK PELANGGAN INSTITUSI PERBANKAN ISLAM

Institution : Association of Islamic Banking Institutions Malaysia - AIBIM
01 June, 2021      21

 

 

SIARAN MEDIA

Lanjutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021, institusi perbankan Islam di Malaysia akan terus membantu pelanggan yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19. Para pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan bayaran balik pembiayaan perlu menghubungi pihak bank dan membuat pilihan bantuan yang bersesuaian.

YAB Perdana Menteri Malaysia di dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0 semalam serta sesi media khas bersama YB Menteri Kewangan hari ini telah mengumumkan bantuan bayaran balik pembiayaan kepada pelanggan di bawah kategori berikut:

  1. Individu yang kehilangan pekerjaan
  2. Semua golongan B40 (penerima BSH/BPR)
  3. Perusahaan mikro (nilai kemudahan yang diluluskan sehingga RM150,000)
  4. Perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP

Pelanggan dalam kategori-kategori ini boleh memilih sama ada:

  1. Moratorium selama 3 bulan; atau
  2. Mengurangkan bayaran balik pembiayaan sebanyak 50% selama 6 bulan.

Untuk memohon, para pelanggan dalam kategori-kategori di atas diminta untuk menghubungi pihak bank dan kelulusan untuk setiap permohonan adalah automatik.

Bantuan bayaran balik pembiayaan juga diberi kepada semua pelanggan termasuk kumpulan M40 dan T20 yang mengalami pengurangan pendapatan. Mereka boleh mendapatkan pengurangan bayaran balik pembiayaan selaras dengan jumlah pendapatan yang berkurang. Selain itu, penerima bantuan bayaran balik bersasar sebelum ini (sehingga Jun 2021) boleh menghubungi pihak bank sekiranya masih terkesan dan memerlukan bantuan lanjutan.

Bantuan ini akan tersedia untuk golongan yang terjejas selagi ia diperlukan.

Bank-bank ahli yang bernaung dibawah Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) terus komited untuk membantu para pelanggan yang terkesan dan berdepan kesulitan untuk membuat bayaran balik pembiayaan. Pihak bank juga telah merangka proses permohonan dan keperluan dokumentasi yang ringkas bagi memudahkan pelanggan. Para pelanggan adalah dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak bank bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat.

Cawangan institusi perbankan Islam akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP 3.0, mengikut Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan, melainkan dimaklumkan sebaliknya. Pelanggan juga dinasihatkan untuk melayari laman sesawang dan mengikuti media sosial bank untuk mendapatkan maklumat terkini.

Seperti yang telah dimaklumkan, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) penerima bantuan bayaran balik pembiayaan ini tidak akan terjejas bagi pilihan yang dibuat pada tahun 2021. Para pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan lanjut daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan juga Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain itu, AKPK bersedia untuk memberikan khidmat nasihat dan panduan yang sewajarnya kepada pelanggan individu dan perusahaan mikro, termasuk memberikan pilihan untuk penstrukuran semula hutang. Selain menghubungi bank, perusahaan mikro juga boleh mendapatkan bantuan melalui meja bantuan perniagaan mikro yang disediakan khusus oleh AKPK melalui www.akpk.org.my/microhelpdesk. Meja bantuan secara maya ini memberikan nasihat kewangan secara percuma dan memudahkan permohonan bantuan bayaran balik pembiayaan.

- TAMAT -

 

Mengenai AIBIM

Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) telah ditubuhkan pada tahun 1995. Pada masa ini terdapat 26 bank ahli yang termasuk 11 bank tempatan, 5 institusi kewangan pembangunan dan 10 bank asing yang diperbadankan di Malaysia. AIBIM menggalakkan sistem perbankan Islam yang kukuh di Malaysia; mewakili kepentingan ahli di dalam dan di luar negara; memberikan nasihat dan bantuan kepada para ahli dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, serantau dan global; menyelaras inisiatif pembangunan modal insan, serta meningkatkan kesedaran awam.

 

Sebarang pertanyaan sila hubungi:

Mohd Zamir Azfar Ab Rahim

Persatuan Institusi Perbankan Dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)

Emel    : [email protected]

Tel       : +603-2026 8002/8003



Comments

( No comment has been added. )