Peluang Menyertai Program Felo Berprestij dalam Kewangan Islam di bawah Inisiatif SC-Pusat Pengajian Islam Oxford

Institution : Securities Commission Malaysia - SC
15 November, 2018      605

 

 

Kuala Lumpur, 15 November 2018 - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) berpangkalan di UK hari ini telah membuka permohonan bagi calon Felo Pelawat kelapan di OCIS di bawah Program Sarjana Tamu (SIR) dalam Kewangan Islam bagi tahun akademik 2019/20 bermula Oktober 2019.

Program SIR merupakan inisiatif untuk penyelidikan terhadap isu-isu kontemporari dalam kewangan Islam, khususnya dalam bidang pasaran modal Islam. Program tersebut, di samping usaha sama dengan OCIS, merupakan inisiatif berterusan SC berkaitan kepimpinan pemikiran dan pembangunan keupayaan untuk mempergiat perkembangan pasaran modal Islam di peringkat global.

Pemohon dan calon-calon program ini mestilah berpengalaman luas dalam kewangan Islam dan/atau bidang yang berkait rapat dan menunjukkan kebolehan untuk menjalankan penyelidikan akademik secara bebas. Tarikh tutup pengemukaan permohonan adalah pada 4 Februari 2019.

Sarjana terpilih akan memulakan program tamu di Oxford untuk menjalankan penyelidikan dan menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS. Di samping itu, Felo Pelawat tersebut hendaklah menyampaikan syarahan dan menjalankan seminar dari semasa ke semasa, melibatkan diri dalam kajian bersama, dan menjalankan program bersama institusi-institusi berkenaan dan masyarakat setempat.

Program SIR telah dimulakan pada tahun 2012 berikutan keputusan yang dibuat ketika Sidang Meja Bulat SC-OCIS mengenai Kewangan Islam, satu acara tahunan utama. Sejak pelancarannya, enam orang sarjana telah berjaya melengkapkan penyelidikan mereka dalam topik kontemporari yang berkaitan dengan kewangan Islam, manakala dua orang Sarjana kini sedang menjalani program Felo Pelawat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Felo Pelawat di laman sesawang OCIS di www.oxcis.ac.uk. SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA.

 

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Pihak Media boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-62048305 (Lau Mei San), 03-62048265 (Delyana Nordin), 03-62048326 (Teoh El Sen) atau no. faks: 03-62015078 atau e-mel: [email protected].

Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.



Comments

( No comment has been added. )